Wednesday, October 15, 2008

politik itu satu alam barzakh sekular

Lama saya memikirkan untuk menuangkan perkara yang bermain dalam kepala otak saya ini ke dalam sebuah tulisan, untuk tatapan umum. Bila saya mula menulis, rasa takut dan gementar mula mengalir. Segala macam hantu dan bayang-bayang muncul sekonyong-konyongnya. Apatah lagi tulisan saya ini bakal menyangkut persoalan agama, negara dan Islam. Kenapa saya boleh jadi takut?


Biarpun isu negara Islam Pas kelihatannya begitu kontroversi sekali, hingga berjaya sedikit sebanyak meruntuhkan keghairahan Barisan Alternatif. Saya tidak terlalu gusar dengan pandangan puak-puak konservatif Islam yang berada di barisan pembangkang, seperti Pas. Kerana mereka tidak punya kuasa mutlak, jentera negara. Misalnya, polis tidak mengikut arahan Pas. Ataupun Pas tidak berkuasa menahan saya tanpa bicara. Mereka mungkin hanya punya pengaruh. Pengaruh ke atas pandangan umum. Itu tidak akan membuatkan kemerdekaan peribadi (individual liberty) saya dirampas, kecualilah mereka dapat menang pilihanraya dan memerintah negara (suatu hal yang menjadi kemustahilan rasa-rasanya). Jadi, Pas, tidak akan membuatkan saya berdepan dengan risiko pemenjaraan dan hukuman nyata. Dasar atau rangka negara Islam Pas masih diperingkat cita-cita. Harapan, suatu subjek bukannya objek.

Dalam bentuk pentadbiran authoritarian moden Malaysia, rasa takut itu tambah menebal dengan segala kemungkinan berlegar-legar. JembaIang ISA, undang-undang, polis, mahkamah dan bermacam-macam lagi. Kerana jelas, saya di pihak yang tak punya kuasa dan pihak yang berkuasa itu pula, pastilah negara, pemerintahan BN dan diktator Mahathir Mohamad. Dan saya memang manusia penakut. Tetapi saya percaya kepada prinsip kebebasan bersuara dan kemerdekaan berfikir. Tujuan saya tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menyemarakkan wacana politik Islam yang sengit dan juga kadang-kadang membingitkan telinga.

Saya akui telah banyak tulisan pro-sekular yang menulis tentang politik Islam ini. Tentang persaingan merebut Islam antara Umno dan Pas. Tetapi seingat-ingat saya, lebih banyak kiranya tulisan yang menghentam Pas dan para ulamanya. Simpati saya terhadap Pas jelas, bukan kerana agenda, taksiran dan cita-cita perjuangan Islamnya. Tetapi kerana mereka berdepan dengan penindasan yang keras dari jentera negara. Dan saya tidak bersimpati pula kepada Umno sebab ianya parti dominan kelas pemerintah yang bertindak menindas (ditambah dasar Islam konservatifnya yang tak banyak berbeza dengan Pas).

Saya percaya, kepercayaan adalah suatu hal yang sangat peribadi sifatnya. Tidak ada sesiapapun yang boleh memaksa untuk seseorang itu mengikut dan menganut satu-satu kepercayaan.

Justeru kemerdekaan peribadi ini tidak perlu dihalang atau ditindas. Tetapi ini hanyalah kata-kata saya. Bukan kenyataan yang kita depani saban waktu. Sekularisme memang sedia tertanam sebagai kata yang siap berkonotasi negatif, ia jadi bom yang memusnahkan hujah dan logik akal budi manusia.

Saya kira satu perkara yang perlu dijernihkan berhubung hal sekularisme di Malaysia ini, adalah soal campurtangan negara, dengan menggunakan agama dalam kehidupan peribadi manusianya. Malah agama -selain nusa dan bangsa- menjadi sebab atau punca segala tindakan, dasar-dasar, undang-undang mahupun penindasan yang dibuat pemerintah. Seolah-olah manusia tidak punya upaya untuk bertindak dan memutuska jalannya sendiri. Ataupun sebenarnya, agama, nilai moral dan adat ketimuran hanyalah dalih, sebab dan alasan untuk menghalalkan segala tindak-tanduk serta perlakuan jentera negara yang dimotori elit pemerintah.

Sejauhmana campurtangan negara dalam urusan peribadi manusia di Malaysia ini? Kalau tidak silap sehingga ke atas katil di bilik tidur. Tangan kasar negara meraba jauh masuk ke dalam ruang milik peribadi seseorang warganegara itu.

Oh, saya terlupa, perkara ini khusus untuk mereka yang dilahirkan dan didaftarkan sebagai Melayu Islam. Satu golongan yang sejak lahir di dikriminasikan secara hukum daripada bebas mengamalkan kemerdekaan peribadinya. Untuk mereka yang bernasib baik, lahir sebagai bukan Melayu Islam, saya dapat faham mengapa mereka begitu risau dengan agenda anti-sekular, negara Islam Pas. Malah saya juga meragui perjuangan sekularisme seperti yang dilaungkan DAP, kelihatan - yang tersurat, yang tersirat tak dapatlah saya melihatnya- mereka hanya menumpukan hak untuk kelompok bukan Islam menikmati kebebasan dan kemerdekaan peribadinya. Contohnya, hak untuk 'makan babi', hak untuk 'minum arak' dan menikam 'loteri'. Jadi golongan yang lahir sebagai Melayu Islam, kemudiannya langsung tak dapat menikmati hak-hak ini. Dan saya kira, mereka yang dilahirkan sebagai Melayu Islam setelah melalui proses sosialisasi, pengalaman, pendidikan dan pembacaannya, juga punya hak untuk menjadi apapun, sebagai pilihan peribadinya. Kerana sekularisme tidak menjadikan mereka yang lahir sebagai Melayu Islam sebagai kekecualian praktisnya. Seharusnya dia bebas memilih untuk menjadi Islam, untuk menjadi atheis, untuk menjadi agnostik dan untuk memilih anutan agama-agama lainnya. Pilihlah apapun; agama, atheisme dan kepercayaan-kepercayaan yang ada, sejauh ia tidak akan menyebabkan campurtangan negara ke dalam hidup peribadi.

Bukan saya tidak mahu bercakap soal dasar Pas, yang anti sekular itu. Tetapi saya sudah muak dengan hal itu. Saya sudah jemu membaca hal sedemikian. Biarpun Pas berkuasa di dua negeri tetapi kita semua tahu, hukum hudud masih belum terlaksana. Tiada yang putus tangannya akibat mencuri, tiada pasangan yang luka-luka disebat 100 kali di khalayak ramai akibat 'berzina'. Pas dan segala agenda negara Islamnya masih tersekat di peringkat dasar dan cita-cita perjuangan parti itu. Benar, Mak Yong diharamkan di Kelantan, itu tak ada bezanya seperti kerajaan Melaka mengharamkan konsert rock Amok atau tindakan DBKL menarik balik permit pementasan 'monolog burit' (Vagina Monologue). Kedua-duanya sama dan wajar dikritik kerana melanggar hak manusia. Baru-baru ini kecoh soal rang undang-undang hudud di Terengganu misalnya. Tetapi melihat kepada sistem yang ada, saya yakin ia tidak akan berjaya di laksanakan.

Pencerobohan ruang peribadi oleh negara dengan beralasankan agama, memang jelas sebagai unsur anti sekular yang represif. Berapa ribu manusia di Malaysia ini yang telah menjadi korban undang-undang anti-sekular negara? Berapa ramai -manusia yang dilahirkan sebagai Melayu Islam- yang telah diperkosa kemerdekaan peribadinya kerana dosa ber'khalwat', ber'zina', minum 'arak' atau mempraktikkan kebebasan seksualiti mereka?

Hal-hal sebegini merupakan suatu praktik kemerdekaan peribadi yang tidak sepatutnya diberi hukuman oleh negara. Tetapi inilah kenyataannya. Sebuah kenyataan yang cukup mengerikan. Isu panas Ketua Puteri Umno Azalina Osman cukup dekat dengan tujuan perbincangan tulisan ini. Tabloid Perdana Sari pimpinan pengarang 'pop Malaysia' Khalid Jafrie mendedahkan praktis dan orientasi seksual Azalina. Tersiarlah kisah Azalina menjadi lesbian, berkasih dan bercinta dengan kaum sejenis. Ia cukup sensasi. Cukup 'pop' gitu. Tidak adil rasanya untuk mengaitkan moral, seksualiti dan kegiatan seks Azalina yang didakwa sebagai lesbian itu sebagai bukti penyelewengan kuasa ataupun penyimpangan tanggungjawab awam. Sama ada Azalina seorang lesbian atau tidak, itu tidak penting dan tak menjadi soal. Itu haknya untuk memilih, sebuah praktis kemerdekaan peribadi. Tak ada orang boleh menghukum atau memaksa Azalina menjadi homoseksual, biseksual atau heteroseksual. Bagaimanapun dalam kes Azalina ini, hal yang perlu diberi perhatian serius adalah dakwaan pembelian sebuah kereta mewah berharga RM 300' 000 dengan menggunakan dana Puteri Umno.

Saya kira masih belum ada lagi tulisan yang mengkaji atau cuba menghuraikan tindak-tanduk anti-sekular oleh jentera negara yang menindas kebebasan peribadi manusia (khususnya mereka yang dilahirkan sebagai Melayu Islam) di Malaysia ini.

Saya cukup meragui, kejujuran dan keihklasan atau mungkin keberanian para penulis yang selama ini lantang memperjuangkan sekularisme itu. Kerana apa? Kerana yang asyik digugat dan dicabar adalah Pas dan dasar-dasarnya. Kenapa tidak mencabar undang-undang syariah sedia ada, Jais, Jaij atau lebih tepat lagi tampuk kekuasaan negara?

Keraguan saya, adalah mereka (para 'penulis sekular' itu) hanya berani mencabar ulama-ulama konservatif yang terkait langsung dengan Pas, kenapa tidak mencabar struktur undang-undang dan penguatkuasaan negara yang jelas merupakan campurtangan negara ke atas kehidupan peribadi manusia dengan menggunakan alasan agama. Umno sejak merdeka lagi telah memerintah atas nama agama dan ras. Menginstitusikan agama ke dalam sebuah bentuk rasmi perundangan serta tatacara hidup bernegara dan bermasyarakat, khususnya terhadap mereka yang dilahirkan sebagai orang Melayu Islam. Ia telah menjadi suatu nilai kebenaran mutlak yang wajib dipatuhi, di'akujanji'kan dan diikuti tanpa boleh menyoal kenapa? Menyoal bererti pembelotan, pengkhianatan dan kemurtadan yang tak ada maaf. Bagai terperangkap di dalam lingkaran syaitan kemiskinan yang tak ada jalan keluar, berpusing-pusing makin jauh, makin laju dan makin melemah. Akal budi dan nilai kemanusiaan tak dianggap penting lagi. Sesiapa yang cuba bertanya, bersiaplah mengalami sebuah proses perendahan martabat dan kehinaan. Benar juga kata-kata yang selalu disiulkan sebagai penganan di kalangan para aktivis dan pejuang kebenaran, "kebebasan tidak diberi secara percuma, ada harga mahal yang terpaksa dibayar". Tetapi siapa yang sanggup membayarnya. Pemberontakan. Tetapi ia memakan korban.

Suatu hal berhubung praktis kemerdekaan peribadi ini adalah kuasa modal. Kuasa yang didorong oleh perkembangan pasar kapitalisme di Malaysia. Kuasa yang saling bercelaru dalam struktur kekuasaan politik negara. Modal dan kelas memainkan peranan penting dalam praktik kemerdekaan peribadi. Lebih tinggi status kekuasaan politik dan ekonomi lebih banyak ruang kemerdekaan peribadi yang dimiliki. Suatu bentuk kemerdekaan palsu yang dibeli dengan wang, kekayaan dan hubungan kekuasaan.

Kita ambil contoh fenomena sosial 'bohsia' dan pasangan 'bohjan' suatu masa dulu. Anak-anak muda yang cuba merayakan kebebasan seksual mereka itu, ditindas dari segala sudut. Cap, label dan hukuman pun berterbangan hinggap di dahi mereka ini. Walhal, buat golongan korporat dan datuk-datuk, mempunyai perempuan simpanan itu sudah hal biasa. Tetapi bezanya, mereka perlu membayar untuk menikmati kemerdekaan peribadi itu. Perlu melabur. Perlu menjadi sugar daddy. Perlu bayar sewa kondominium dan segala macam insentif lainnya. Tetapi anak-anak muda itu hanya mahu berseronok, menikmati dan meneroka alam seksualiti mereka. Dan mereka tidak mampu hendak membayar kondominium mewah, cukup sekadar persetujuan dan kerelaan untuk sama-sama suka menikmati seks. Tanpa ada pertukaran nilai antara wang dan seks. Yang bertukar hanyalah cairan badan. Asli dan seratus peratus semulajadi sebagai kehendak tubuh.

Begitu jugalah saya kira, hubungan struktural di antara golongan sekularis anti-Pas ini dengan elit pemerintah negara. Berkatalah sebanyak mana, perjuangkanlah sekularisme tetapi asalkan jangan menyentuh hal pokok fungsi negara, ia tidak akan menjadi soal. Paling kurangpun hanya 'cubitan manja' memorandum Persatuan Ulama Malaysia. Risikonya tidaklah setinggi tangkapan ISA dan perlu mendekam dalam penjara.

Jelas, majoriti golongan sekularis ini, pro-pemerintah dalam persaingan politik agama di antara Umno dan Pas. Yang membezakan Umno dan Pas, bukanlah Umno itu sekular dan Pas itu anti-sekular. Kedua-duanya anti-sekular. Kedua-duanya konservatif dan represif. Tetapi yang membezakan Pas dan Umno adalah satu berkuasa dan satunya tak punya apa-apa (biarpun menguasai dua negeri). Kuasa tidak datang tiba-tiba. Kuasa muncul kerana dokongan jentera negara. Seperkara lagi, golongan ini mungkin mendapat faedah langsung dari kekuasaan rejim yang ada. Mungkin juga perlindungan. Jadi ruang dan kepentingan yang diperolehi dari "status quo" yang ada ini perlu dipertahankan. Akhirnya mereka terhisap menjadi sebahagian dari sistem "status quo" ini. Mereka selesa dengan Umno, BN dan pemerintahan Dr. Mahathir. Sebab itu mereka jadi kacau, ragu-ragu dan berasa tidak terjamin dengan agenda politik Islam Pas. Walhal, agenda politik Islam "status quo" sedia ada tak kurang 'lemak'nya. Jadi dengan menjadi sekularis pro Umno, maka kemerdekaan peribadi golongan sekularis itu sendiri terjamin. Yang cuba dijamin bukanlah kemerdekaan peribadi semua manusia tetapi hanya segelintir sahaja yang punya hubungan langsung dengan elit pemerintah. Sambil menyelam minum air, sambil mengkritik sambil mengipas, yang pentingnya diri terlepas. Akhirnya manusia di bumi ini, tetap tidak merdeka dan bebas.

No comments: